Sabtu, Julai 31, 2010

Ciri-Ciri Pelajar Cemerlang

Pelajar yang cemerlang bukan sahaja berjaya dalam akademik tetapi juga memiliki akhlak serta kelakuan yang sempurna. Mencapai keputusan cemerlang dalam akademik tanpa jati diri atau keperibadian cemerlang, belum cukup untuk membolehkan seseorang pelajar itu dianggap sebagai cemerlang. Untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang, ciri-ciri berikut perlulah ada dalam diri seseorang pelajar.

Amanah
Pelajar yang cemerlang mestilah boleh dipercayai, jujur dan ikhlas dalam segala tindakannya, sentiasa bercakap benar, tidak suka berbohong, tidak mencuri atau tidak mengambil hak orang lain dan sentiasa sedar bahawa segala perbuatannya adalah sentiasa diperhatikan oleh Allah S.W.T.

Bijak
Pelajar yang cemerlang bijak mengurus diri, menggunakan masa, serta sumber-sumber di sekelilingnya, melakukan hanya yang baik dan menjauhi perkara-perkara yang ditegah atau melanggar peraturan. Pelajar yang cemerlang juga sentiasa berusaha memperbaiki dirinya serta cenderung melakukan dan mempelajari perkara-perkara yang boleh mendatangkan faedah.

Cergas
Pelajar yang cemerlang sentiasa menjaga kesihatan fizikal, minda dan emosi diri, menjaga pemakanan serta sentiasa melakuka aktiviti jasmani. Ini akan menjadikannnya lebih tangkas dan aktif dalam aktiviti-aktiviti fizikal yang diceburinya.

Dedikasi
Pelajar yang cemerlang amat rajin, bersemangat tinggi serta komited dalam melaksanakan segala tugas dan tanggungjawab dengan sepenuh hati. Setiap tugasan akan dilakukan tanpa perlu dipantau oleh pihak lain.

Elok
Pelajar yang cemerlang elok dari segi penampilan diri, tutur kata serta perbuatan. Ia mempunyai perwatakan yang ceria, yakin dan senang didampingi. Pelajar cemerlang sentiasa menjauhi diri daripada perbuatan yang salah dari segi undang-undang dan agama dan boleh menjadi contoh kepada orang lain.

Faham
Pelajar yang cemerlang lebih banyak mendengar daripada bercakap. Cara ini menjadikan pelajar cemerlang lebih banyak berfikir, menganalisa dan mengetahui sesuatu perkara sebelum memberi maklumbalas yang lebih bernas.

Gigih
Pelajar yang cemerlang sentiasa melakukan kerjanya dengan penuh minat dan tekun. Pelajar cemerlang sentiasa seronok untuk pergi ke sekolah dan belajar serta tidak mengenal erti putus asa.

Hasrat
Pelajar yang cemerlang sentiasa menyimpan dalam hati kecilnya suatu hasrat untuk menjadi manusia yang sangat berjaya dan berguna kepada semua. Hasratnya untuk mencapai cita-cita atau impiannya memberikan suntikan motivasi kepadanya untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi mencapai kejayaan dalam kehidupannya.

Iman
Pelajar yang cemerlang sentiasa taat kepada perintah Allah S.W.T. dan berusaha mencapai kejayaan selaras dengan tuntutan agama iaitu mengamalkan apa yang disuruh dan menjauhkan apa sahaja yang dilarang. Ianya juga mentaati ibubapa, pemimpin-pemimpin, guru-guru, undang-undang negara serta segala peraturan dan amalan yang harus diikuti.

Semoga ciri-ciri tersebut sudah atau akan tertanam dengan kukuhnya pada diri anda demi kejayaan anda di dunia dan di akhirat. Insya-Allah. Amin.

Tiada ulasan: