Robotik

2007 - Bermulanya Era Robotik SKSM


Sejarah Pasukan Robotik SK Seri Mulia bermula pada bulan Januari 2007 apabila pihak sekolah menerima 11 set "NXT LEGO Mindstorm" yang terdiri daripada 3 kotak bagi setiap set. Kotak-kotak tersebut telah dikumpulkan dan disusun di dalam bilik GPK Kokurikulm ketika itu, Tn. Hj. Satar b. Marzuki. Apabila ditanya apakah yang ada di dalam kotak-kotak tersebut, pihak pentadbiran tidak dapat memberikan jawapan yang jelas kerana pihak sekolah hanya diarahkan menerima kotak-kotak tersebut dan tidak diterangkan apa isi kandungannya dan untuk tujuan apa kotak-kota tersebut dihantar.

Tidak berapa lama selepas itu, pihak sekolah telah menerima panggilan telefon daripada pihak Jabatan Pelajaran Negeri Johor (JPNJ) yang meminta pihak sekolah mencalonkan nama seorang Guru Sains atau seorang guru lain yang agak mahir dalam komputer untuk dihantar berkursus berkaitan dengan 11 set kotak yang telah diterima oleh pihak sekolah tersebut. Pihak sekolah telah mencadangkan nama Cikgu Le Romzee b. Ab. Samad walau pun beliau tidak mengajar Sains dan hanya mengajar B. Melayu dan Kem. Hidup.

Set Lego Mindstorm NXT

Pada penghujung Februari 2007, pihak sekolah telah menerima faks daripada pihak JPNJ yang telah mengarahkan Cikgu Le Romzee b. Ab. Samad untuk menghadiri kursus NXT LEGO Mindstorms Educatian di Hotel Cititel, Mid Valley, Kuala Lumpur pada 5-6 Mac 2007 dengan membawa sebuah laptop. Melalui surat arahan menghadiri kursus tersebut barulah diketahui bahawa di PPD Batu Pahat, hanya 3 buah sekolah rendah yang telah menerima secara percuma 11 set NXT LEGO Mindstorm daripada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia. Sekolah-sekolah tersebut dan guru yang dipilih menghadiri kursus ialah:
          1) SK Seri Mulia, Rengit (Cikgu Le Romzee b. Ab. Samad)
          2) SK Montfort, B. Pahat (Cikgu Nurul Hafizah bt. Ismail)
          3) SK Seri Bertam, Yong Peng. (Cikgu Subari b. Sirol)
Kursus tersebut juga telah dihadiri oleh semua guru yang telah dicalonkan oleh pihak sekolah kepada JPN negeri masing-masing dari seluruh Malaysia termasuk dari Sabah, Sarawak dan W.P Labuan.

CD Installer
Peserta mula mendaftar pada pukul 2.00 petang, diberikan bilik masing-masing, dan pada pukul 4.00 petang terus diberikan taklimat oleh wakil khas Menteri Pelajaran Malaysia yang menerangkan bahawa Program Robotik ini adalah merupakan satu projek khas oleh Menteri Pelajaran Malaysia (KPM) bersama Sasbadi Sdn. Bhd. serta Pusat Sains Negara (MOSTI) dan hanya 200 buah sekolah daripada seluruh negara yang bertuah mendapat set-set robotik tersebut secara percuma. Peserta juga dimaklumkan bahawa kami adalah kumpulan kedua yang menerima set dari model NXT manakala kumpulan sebelumnya menerima set dari model RCX.

Kursus terus bermula pada jam 8.00 malam tersebut dan peserta telah didedahkan kepada cara menginstall software ke dalam laptop serta cara membuat program untuk menggerakkan robot dan memuat turun program yang telah dibuat di dalam laptop ke NXT. Kursus tersebut telah disampaikan oleh Mr. Peter Allan Smith (LEGO'S trainer) yang didatangkan khas dari AUSTRALIA. Beliau telah memberikan tunjuk ajar dengan baik sekali walau pun 100% menggunakan Bahasa Inggeris. (Nasib baik la boleh faham).

Pada sesi terakhir kursus, para peserta telah dimaklumkan bahawa setiap sekolah yang telah mendapat set-set NXT Mindstorm daripada KPM akan diwajibkan menyertai National Robotic Competition (NRC) 2007 yang akan diadakan pada Julai 2007. Peserta juga dimaklumkan bahawa satu lagi kursus akan diadakan pada bulan Mei untuk mendedahkan lagi pengetahuan kepada para peserta (Mentor) yang akan melatih para peserta untuk pertandingan pada bulan Julai nanti.


2007 - Latihan Pertama Bermula

Pulang daripada kursus, setelah memaklumakan segala dapatan kursus kepada Guru Besar, perancangan mula dibuat untuk memperkenalkan program baru ini kepada para pelajar di SK Seri Mulia. Pada peringkat awal, Pelajar Tahun 6 dipilih sebagai kumpulan perintis untuk memberi peluang kepada mereka kerana mereka hanya tinggal setahun untuk mempelajari tentang robotik ini. Kemudahan Makmal Komputer dan Bilik Akses telah digunakan untuk tujuan ini. Pelajar Tahun 6 telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk menggunakan 11 set robotik yang telah dibekalkan.

Pelajar-pelajar telah diperkenalkan kepada komponen-komponen utama set robotik seperti NXT, gear, sound sensor, light sensor, touch sensor, ultrasonic, USB, dan sebagainya. Sebagai permulaan, pelajar didedahkan kepada cara memasang set robotik tersebut berpandukan Buku Manual yang disertakan dalam setiap kotak. Apabila proses memasang set robotik siap, pelajar mula dilatih untuk membuat program ringkas untuk menggerakkan robot ke hadapan, undur, berpusing dan membelok. Pelajar-pelajar begitu teruja dengan pengetahuan dan pengalaman baru ini.

Belajar cara membuat program dalam komputer

Menguji program yang telah didownload ke dalam NXT
Nantikan sambungannya.....
2007 - Kursus Kedua di Kuala Lumpur
2007 - Penyertaan Kali Pertama dalam NRC
2008 - Tahun Kecemerlangan
2009 - Masih Cemerlang
2010 - Kecemerlangan Berterusan
2011 - Masih Dahagakan Kecemerlangan

Tiada ulasan: