Jumaat, September 12, 2014

PENJELASAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA BERKAITAN PENANGGUHAN UJIAN MATA PELAJARAN SCIENCE & BAHASA INGGERIS UJIAN PENCAPAIAN SEKOLAH RENDAH (UPSR) TAHUN 2014

PENJELASAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
BERKAITAN PENANGGUHAN UJIAN MATA PELAJARAN
SCIENCE & BAHASA INGGERIS
UJIAN PENCAPAIAN SEKOLAH RENDAH (UPSR) TAHUN 2014


  1. Pada tarikh 10.9.2014 pihak Lembaga Peperiksaan (LP) telah membuat kenyataan media berkaitan Peperiksaan Science 018 (SK), 028 (SJKC), 038 (SJKT) bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 yang dijadualkan pada 11 September 2014 telah didapati bocor.

  1. Ekoran kebocoran tersebut, pihak LP telah menangguhkan peperiksaan kertas tersebut dan akan diadakan pada 30 September 2014.

  1. Pada 11.9.2014, pihak LP juga telah menerima laporan bahawa Kertas Peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan Bahasa Inggeris 014/2, bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 yang berlangsung pada 11 September 2014 telah juga dilaporkan bocor. LP telah menjalankan siasatan dan mendapati perkara ini adalah benar. Kertas Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 adalah untuk Sekolah Kebangsaan sahaja dan tidak ada kesan terhadap kertas Bahasa Inggeris yang diduduki di SJKC dan SJKT.

  1. Sehubungan dengan ini, pihak LP memaklumkan bahawa kertas peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan Bahasa Inggeris 014/2 bagi UPSR tahun 2014 yang berlangsung pada 11 September 2014 adalah DIBATALKAN. Tarikh baharu bagi peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan Bahasa Inggeris 014/2 adalah pada 30 September 2014 bersekali dengan Science 018, 028 dan 038.

  1. Pihak LP menyedari bahawa tindakan selepas keputusan di atas perlu dilaksanakan secepat mungkin. Tarikh 30 September 2014 adalah tarikh yang paling sesuai bagi membolehkan pihak LP melaksanakannya kerana isu logistic (percetakan dan pengedaran) dan teknikal, termasuk keselamatan soalan dan integriti. Proses ini melibatkan seramai 473,175 calon, 51,438 petugas, 8,299 pusat, dan 382 bilik kebal di seluruh Negara.

  1. Dengan perkembangan terbaharu ini, KPM akan membuat siasatan dalaman atas semua dakwaan kebocoran kertas peperiksaan. KPM memandang serius insiden ini dan akan mengambil tindakan tegas untuk memastikan perkara seperti ini tidak berlaku lagi. KPM akan bekerjasama dengan pihak berkuasa (PDRM, SKMM) untuk mengenalpasti pihak yang bertanggungjawab dan seterusnya membawa mereka ke muka pengadilan, termasuk kemungkinan pendakwaan jenayah di mahkamah terhadap mereka yang didapati bersalah. KPM berharap tindakan tegas dan semaksimum mungkin dikenakan kepada pengkhianat tersebut.

  1. KPM amat berasa kesal dengan perbuatan tidak amanah dan tidak berintegriti yang dilakukan oleh pengkhianat ini. Sehubungan itu, laporan polis telah dibuat dan berharap satu siasatan dan tindakan keras dapat kita ambil tanpa mengira siapa pun yang bertanggungjawab dalam hal kebocoran ini.

  1. Selain daripada kertas peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 dan Science 018, 028 dan 038 sepertimana yang disebut di atas, TIADA PEMBATALAN untuk mana-mana kertas peperiksaan UPSR yang lain setakat ini.

  1. Untuk mengelakkan sebarang kekeliruan dan penyebaran beritu palsu, pihak LP menyeru pihak awam untuk melayari laman web LP www.moe.gov.my/lp untuk maklumat rasmi dan terkini berhubung perkara ini. Pihak awam juga boleh hubungi HOTLINE UPSR 2014 LP di talian 03-88893601 @ 3551 @ 3809 @ 3520 @ 3030.

  1. KPM akan menubuhkan satu Jawatankuasa Bebas bagi meneliti semula Prosedur Operasi Standard (SOP), pengendalian dan pengurusan peperiksaan awam. Ahli-ahlinya akan terdiri daripada pakar pelbagai bidang antaranya teknologi maklumat, keselamatan, dan logistic

  1. Kementerian Pendidikan Malaysia ingin meminta maaf kepada mereka yang mengalami sebarang kesulitan akibat insiden ini.


Kementerian Pendidikan Malaysia
12 September 2014

Isnin, September 08, 2014

Jemputan Ibu Bapa Penjaga

Kepada semua ibu, bapa dan penjaga anak-anak yang akan menduduki peperiksaan UPSR kali ini . Dijemput untuk hadir bersama-sama menghantar dan mengambil pulang anak-anak anda ke dan dari dewan peperiksaan. Ini adalah sebagai pembakar semangat anak-anak untuk menghadapi peperiksaan. Keprihatinan anda keselesaan anak anda.

Khamis, September 04, 2014

Solat Sunat Hajat

04.09.2014
(Khamis)


Masjid Kg Sg Kluang Darat

Bermula 7 malam

Semua dijemput hadir


Sedikit Penerangan Mengenai Solat Sunat Hajat


Solat sunat Hajat ialah solat yang ditunaikan untuk memohon sesuatu hajat atau menolak sesuatu keburukan.

Rasulullah SAW bersabda:

Sesiapa yang mempunyai hajat kepada Allah SWT atau kepada seorang manusia, maka hendaklah ia berwuduk dengan sebaik-baiknya kemudian dia bersolat dua raka’at.    (Riwayat At-Tarmizi)

Imam Ahmad meriwayatkan dengan sanad shahih dari Abu Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Sesiapa berwudhuk dan menyempurnakannya, kemudian solat dua raka’at dengan sempurna, nescaya Allah memberikan apa saja yang dimintanya, sama ada cepat ataupun lambat.

Apakah sebenar tujuan kita menunaikan solat hajat.

Tujuannya ialah :
  • Untuk mendekatkan diri kepada Allah
  • Untuk memohan hajat untuk diri atau orang lain
  • Mendidik jiwa redha dengan ketentuan Allah
  • Mengakui kelemah diri

CARA MENUNAIKAN SOLAT SUNAT HAJAT 

1. Lafaz niat solat sunat hajat ialah :

solat sunat hajat
Maksud:
Sahaja aku solat sunat hajat dua rakaat kerana Allah taala

2. Pada rakaat pertama baca doa iftitah, surah al-fatihah kemudian baca surah Al-kafirun atau Ayat Al-Kursi (sebanyak 1 kali atau 11 kali).

3. Pada rakaat kedua surah al-fatihah kemudian baca surah Al-ikhlas  (sebanyak 1 kali atau 11 kali).

4.  Pada sujud terakhir bacalah tasbih ini sebanyak 41 kali


Tasbih Hajat
"LA ILAHA ILLA ANTA SUBHANAKA INNI KUNTU MINAZ ZHOOLIMEEN"

Maksudnya:
Tiada Tuhan melainkan Dikau (Allah)! Maha Suci Dikau! Sesungguhnya daku ini dari golongan orang yang aniaya.

5. Selepas membaca tasbih tersebut anda berdoalah untuk memohon hajat (masih dalam keadaan sujud)

6. Bangun untuk tahyat akhir dan salam.

HAJAT YANG SESUAI DIPOHON
  • Mendapatkan kebaikan di dunia seperti cemerlang dalam peperiksaan, Keamanan dan dimurahkan rezeki.
  • Mendapat kebaikan di akhirat seperti menjadi orang yang istiqamah dalam ibadah.
  • Menjauhi keburukan dunia seperti kegagalan dalam hidup, penyakit, kemiskinan dan sebagainya.
  • Menjauhi keburukan akhirat seperti perbuatan maksiat, mungkar dan sebagainya.